hadis ghulam

Dari Suhaib bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita:
Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Bila tukang sihir merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut: “Aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik) yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku. Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.

Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Akhirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Jika kamu takutkan tukang sihir, katakan kepadanya bahawa ibubapaku menahanku (di rumah). Jika kamu takutkan ibubapamu (kerana lewat pulang), katakan kepada mereka berdua tukang sihir telah menahanku.

Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar(singa) yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya, “Pada hari ini, aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib. Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca: Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih Engkau cintai dari tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai".

Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati (orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya).

Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, engkau akan diuji nanti. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentangku.

Budak tersebut berjaya mengubati penyakit kusta dan sopak. Dan juga dapat mengubat semua penyakit yang dihadapi oleh orang ramai. Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit hingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut, dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut: “semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.”

Budak berkata kepadanya: “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu.” Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sedia kala.

Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja. Raja terkejut dan bertanya kepadanya: “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Kata pembesar tersebut: “Tuhanku.” Raja sangat marah dan mengatakan: “Ada ke tuhan lain selain dariku?”

Lalu pembesar tersebut ditangkap dan diseksa hingga dia pun membongkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini.”

Lalu budak itu menjawab: “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah.” Lalu iapun ditangkap dan terus diseksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan seksaan).

Lalu rahib pun ditangkap. Ia diserahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji. Tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi.

Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata: “Balik semula kepada agama asalmu.” Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan kepada mereka: “Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dari atas bukit. Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah: “Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki.”

Tiba-tiba bukit bergegar dan jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja. Raja bertanya: “Mana dia kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.” Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: “Bawa budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan ia ke dalam laut.”

Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut dan bertanya: “Mana kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.”

Lalu budak tersebut berkata kepada raja: “Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta.” Tanya raja: “Apa dia?” Kata budak: “Engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dari panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.

Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia. (Tiba-tiba orang ramai berkata: “Budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui)* “Kami percaya kepada Tuhan budak ini.”

Raja menjadi kelam kabut dan mengatakan: “Telah berlaku apa yang aku tidak mahu ianya berlaku.” Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak, akan dicampakkan ke dalam parit tersebut.

Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, sabarlah. Engkau berada di atas kebenaran!”

Hadis riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq), Tarmizi (No.3263 Kitab Tafseer al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solihin di bawah bab Sabar.

*di dalam kurungan ialah beberapa tambahan yang ada dalam riwayat Tarmizi
Di akhir riwayat, Imam Tarmizi menyatakan bahawa:Budak tersebut kemudiannya dikebumikan. Pada zaman Sayyidina Omar r.a telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan di bawah telinganya yang masih luka. ALLAHU AKBAR!

#perjalanan hidup kita ibarat kisah ghulam, tiada kebetulan dalam hidup ini, hanya sesuatu yang telah dirancang oleh Yang Maha Esa.

0 comments: