"Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. "
Ayat Seribu Dinar adalah ayat suci Al-Quran yang dipetik dari surah Al-Talaaq, dari ayat dua dan tiga. Diceritakan bahawa seorang saudagar telah membayar sebanyak seribu dinar untuk mendapat ayat ini yang dikatakan fadhilatnya ialah dapat menyelamatkan pembacanya dari malapetaka. Di dalam perjalanan pulang, kapal saudagar ini telah dipukul ombak dan beliau terus membaca ayat tersebut. Dengan izin Allah swt.hanya beliau seorang saja yang terselamat dari bencana itu.
Ayat di atas nampak ringkas tapi penuh padat dan bermakna. Hayatilah maksudnya, lafazlah dengan setulus hati. Ayat ini bukan sekadar untuk dijadikan hiasan di dingding-dinding atau digantung di kereta tapi ianya untuk diamalkan. Tidak bermanfaat satu pun ayat Quran jika hanya dijadikan perhiasan.
Perhatikanlah baik-baik ayat ini. Di saat kita perlukan bantuan carilah Allah. Allah akan memberi jalan keluar. Bila kita buntu, dengan izin dan kekuasaan Allah ternampak ada satu ruang kecil untuk kita melepaskan diri dari cengkaman kebuntuan.
Di saat kita lemah tak tahu mana arah hendak dituju, Allah berikan rezeki dari tempat yang kadang-kadang tak pernah terfikir oleh akal kita untuk mendapat bantuan sedemikian rupa. Bila diri merasakan tidak cukup, Allah mencukupkan keperluan kita.
Teringat kisah seorang akhwat yang membelanjakan hampir kesemua hartanya di jalan Allah sehinggakan pada suatu hari dia tak mempunyai wang untuk membeli beras dan untuk keluar di jalan Allah lagi. Namun semangat juangnya yang yakin Allah akan membantu bila niatnya betul. Akhwat tersebut bersiap-siap untuk keluar sambil memikirkan bagaimana dia nak mendapatkan wang untuk keluar berjuang, tiba-tiba loceng pintu dibunyikan. Seorang gadis jepun terpacul di muka pintu dan memulangkan wang yang pernah dipinjam dahulu. Subhanallah. Maha Suci Allah. Allahu akbar.
Masih kisah di bumi Jepun. Seorang anak muda yang mula mencari jalan kebenaran. Tiba-tiba diuji dengan biasiswanya ditarik balik. Dengan bantuan keluarga dan kerja part-time, beliau cuba mengagahkan diri terus menuju ke jalan kebenaran. Alhamdulillah, wang yang dirasakan tidak cukup tak pernah surut. Malah, masih boleh wang lebih yang boleh diinfakkan. Allah Maha Besar. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya.
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai..." (Surah Al-Imran:103)
0 comments:
Post a Comment