Ahlan wasahlan, Ya Ramadhan...

Ramai yang mempersiapkan diri untuk bekerja, untuk exam, untuk ke luar negara, untuk menyambut Syawal tapi berapa ramai yang bersedia menyambut Ramadhan? Sedangkan Ramadhan itu bulan yang mulia. Raja segala bulan. Tapi ramai yang mengeluh dengan kehadirannya. Ramai yang memikirkan cara-cara untuk mengelaknya.


Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa (Surah Al-Baqarah:183)


Puasa mengajar kita supaya lebih bertakwa. Hanya orang-orang yang bertakwa yang dapat melepasi ujian puasa ini. Tanpa takwa manusia boleh menyamar menjadi orang bukan Islam di bulan puasa.(Tak takut tiba-tiba syahadah terlepas dari diri dan anda tidak bergelar muslim lagi?) Atau boleh sembunyi makan senyap-senyap. Mungkin akan terlepas dari pandangan manusia tetapi tidak akan terlepas dari pandangan Allah.

Belum pun mula puasa lagu-lagu raya sudah mula kedengaran. Kegembiraan menyambut Syawal dah mula terasa. Tapi bagaimana dengan Ramadhan? Mana ucapan-ucapan kegembiraan menyambut Ramadhan? Mana kelas-kelas atau kursus yang mengajar persediaan menuju Ramadhan seperti mana kursus perkahwinan atau kursus menunaikan haji?

Hai orang-orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa! Sebagaimana orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.


Ramadhanul karim! Allahu akram!
(Ramadhan yang mulia! Allah Yang Maha Mulia!)


Bersediakah kita menyambut Ramadhan? Bagaimana kita bersedia? Adakah dengan menukar langsir dan perabot baru? Atau dengan makan banyak-banyak? Atau dengan bersuka-ria sebelum terpaksa menjadi baik di bulan Ramadhan? Ataukah kita lebih mendekatkan diri dengan Allah.

Ramadhan juga bulan latihan. Bulan ini syaitan digari yang tinggal hanyalah nafsu yang bermaharajalela. Sama ada diri yang mengawal nafsu atau nafsu yang mengawal diri. Bulan ini adalah latihan ketakwaan untuk bulan-bulan yang seterusnya sehingga bertemu Ramadhan kembali. Jika di bulan Ramadhan kita boleh bangun awal pagi untuk makan, kenapa tidak diteruskan dengan bangun solat malam di bulan-bulan lain? seharusnya ia dijadikan kebiasaan. Jika di bulan Ramadhan kita boleh berusaha menghabiskan senaskhah Al-Quran, kenapa di bulan-bulan lain Al-Quran dijadikan sekadar hiasan atau untuk menghalau syaitan? Kalau di bulan Ramadhan kita boleh bersedekah pada jiran tetangga, kenapa di masa lain kita tak boleh langsung bersedekah walau 10sen?

Ramadhan mengajar kita bersabar dan menjaga kesihatan. Allah menghadiahkan bulan Ramadhan kepada manusia bagi merehatkan dan menyihatkan kembali perut. Orang bukan Islam sanggup berpuasa demi untuk kesihatan walaupun tidak dapat pahala. Tapi kita? Sebaik sahaja azan Maghrib, semua bertukar rupa menjadi naga. Gaya seperti tak makan langsung beberapa bulan. Kemudian tak mampu habiskan dan akhirnya di buang ke tong sampah. Bagaimana saudara kita yang memang tidak punyai makanan?

Semoga Ramadhan kali ini mendekatkan kita dengan Allah. Semoga iman kita terus bertambah walau bukan di bulan mulia ini. Semoga kita dapat maintain iman sebelum direcharge pada Ramadhan seterusnya.

0 comments: