Graduan Universiti Ramadhan


Ramadhan telah memisahkan dirinya dengan kita. Sungguh, terasa begitu cepat hari-hari Ramadhan telah berlalu.

Perlumbaan amal kebaikan kita dengan Ramadhan nampaknya tidak seimbang.

Ramadhan menghadirkan berbagai kemuliaan, keistimewaan dan keutamaan belum benar-benar terkejar secara optimum kerana kekurangan dan kesibukan duniawi kita sehingga Ramadhan belum dapat kita taklukkan sepenuhnya.

Sepatutnya hari-hari akhir Ramadhanlah yang perlu kita tebus dengan :

1. Kesungguhan berlipat kali ganda.
2. Konsentrasi ibadah.
3. I'tikaf qalbu, fizikal dan fikiran hanya kepada Allah swt.

sehingga ketika Ramadhan memisahkan dirinya dengan kita, kita berbahagia, sekaligus terharu, kerana kita telah memanfaatkannya dengan sekuat kemampuan kita dan akhirnya kita keluar menjadi "Graduan Universiti Ramadhan".

Bagaimanakah model Graduan Universiti Ramadhan?

Sebelum menjawab pertanyaan ini ada baiknya kita renungkan beberapa model graduan "puasa" haiwan-haiwan di sekitar kita.

Sebagai contoh : ular, ayam dan ulat.

1. Puasa Ular

Haiwan ular mempunyai keunikan, merubah diri menjadi muda, berkulit baru dan semua serba baru. Ternyata perubahan itu di mulai dari proses panjang "puasa" atau tidak makan selama hampir satu tahun.

Dalam rentang waktu yang panjang itu, ular tidak makan sama sekali sehingga tubuhnya semakin mengecil dan akhirnya ular keluar dari kulit lamanya, menjelma menjadi ular baru dengan serba baru.

2. Puasa Ayam

Haiwan ayam, ketika bertelur dan mahu memiliki anak, ia mengeram. Dalam rentang waktu kurang lebih tiga minggu, ayam mengeram telurnya tanpa makan dan minum. Sampai-sampai mulut ayam sentiasa menganga dan mengeluarkan suara.

Apa yang berlaku setelah tiga minggu? Telur-telur itu menetas, dan Subhanallah! lahir anak-anak ayam yang cantik dan berwarna-warni.

3. Puasa Ulat

Haiwan ulat boleh dikatakan haiwan yang paling rakus di dunia ini. Ulat hidup hanya untuk makan, bukan makan untuk hidup. Tidurnya pun makan sehingga warna tubuhnya nyaris menyatu dengan warna yang ia makan. Semua orang geli bahkan takut dengan ulat terutama kaum perempuan.

Namun, apa yang terjadi ketika si ulat memutuskan "puasa" berdiam diri dalam beberapa minggu, bulu-bulunya mulai tercabut, berubah menjadi kepompong. Dari kepompong menjelma seekor rama-rama yang cantik dan menawan.

Itulah model graduan "puasa" haiwan-haiwan yang melahirkan peribadi baru yang :

1. Lebih baik.
2. Mempesonakan.
3. Membawa manfaat.

Subhanallah!

Tentulah, "Universiti Ramadhan" mampu melahirkan dan meluluskan graduan-graduan manusia yang jauh lebih baik dari makhluk-makhluk lainnya.

"Universiti Ramadhan" menggemblengkan kita untuk sepenuhnya mentaati segala peraturan.

Bayangkan makanan kita sendiri, halal, namun di siang hari haram untuk kita santap, dan kita taat perintah itu.

Bagaimana dengan makanan yang jelas-jelas haram atau syubhat yang bersepah di sekitar kita di luar Ramadhan?

Ada sebuah pesanan yang menarik untuk direnungkan:

"Ramadhan, perangi rasuah" atau "Ramadhan, jauhi rasuah". Tapi ini bukanlah bermakna di luar Ramadhan praktik rasuah tetap bermaharajalela!?

Berhubungan dengan suami-isteri adalah dianjurkan dan halal, namun di siang hari Ramadhan menjadi haram melakukannya. Kita taat perintah Allah swt ini dan kita mampu. Dengan yang demikian, kita akan berasa takut untuk berbuat zina dan perbuatan yang tidak bermoral lainnya bila pun dan di mana pun, kerana taat peraturan Allah swt.

"Universiti Ramadhan" mencipta suasana kita untuk menjaga telinga, mata dan hati.

1. Menjaga telinga dari mendengarkan gosip, fitnah dan sesuatu yang tidak berguna.

2. Menjaga mata untuk tidak melencong kepada yang tidak dihalalkan atau melihat yang tidak diperbolehkan.

3. Menjaga hati untuk tidak berdendam, dengki, berprasangka buruk dan gundah gulana, apalagi putus asa.

4. Menjaga lisan untuk tidak menyebar fitnah murahan, adu domba dan menghina orang lain.

Ini adalah kerana Ramadhan mengajarkan kepada kita agar bukan sahaja berpuasa dari makan-minum dan hubungan suami-isteri di siang hari sahaja, jauh lebih dari itu, sebagaimana disebutkan dalam hadits-hadits berikut ini:

"Kamu berpuasa maka janganlah berkata kotor dan jangan berteriak, dan jika ada salah seorang yang mencelanya atau mengajaknya bertengkar (berkelahi) maka katakanlah; sesungguhnya aku sedang berpuasa…" (HR Bukhari)

"Bukanlah puasa itu menahan diri dari makan dan minum sahaja, namun puasa itu adalah menahan diri dari senda gurau dan kata-kata kotor, jika ada seseorang mencelamu atau menyakitimu, maka katakanlah kepadanya: Saya sedang berpuasa, saya sedang berpuasa." (Hakim dan disahihkan oleh Al-Albani).

"Barangsiapa yang tidak mampu meninggalkan perkataan dosa dan dia melakukannya, maka Allah tidak memerlukan dia untuk meninggalkan makan dan minum." (HR Bukhari)

"Betapa ramai orang yang berpuasa, tidak mendapatkan pahala dari puasa kecuali hanya dahaga, dan betapa ramai orang yang melakukan qiyam (solat tarawih) tidak mendapatkan pahala qiyam kecuali letih sahaja." (HR Ad-Darimi dan Al-Albani berkata: Isnadnya Jayyid)

Imam Al-Hafizh Ibnu Hajar mengatakan bahwa puasa tidak diterima jika diiringi dengan perkataan dan tindakan dosa.

Sedarilah, bahwa kerugian besar bagi orang yang tidak mampu membawa jiwanya berpuasa dari dosa-dosa.

Ingatlah, jika kita merasa haus saat berpuasa, maka haus yang sebenarnya adalah rasa dahaga pada hari kiamat pada ketika itu orang merasa rugi dan menyesal.

Oleh kerana itu hendaknya kita :

1. Menjaga tubuh kita dari kemaksiatan.
2. Menguatkan akal kita untuk tidak berfikir kecuali taat kepada Allah.
3. Tidak membawa hati kecuali pada kebaikan kaum muslimin dan muslimat.
4. Menempatkan kedua mata atau kedua telinga atau lisan dengan apa yang dicintai Allah swt.

Ramadhan menggembleng kita untuk menjadi manusia baru kerana mata, telinga, lisan, kemaluan, hati dan perut serta anggota tubuh kita yang lain menjelma menjadi fitri iaitu suci dan lebih taat kepada pemiliknya, Allah swt.

“Muttaqien”, itulah gelaran "Graduan Universiti Ramadhan" iaitu gelaran tertinggi dan paling terhormat dan sebuah gelaran yang Allah swt sematkan kepada orang-orang yang benar puasanya.

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (QS Al Baqarah : 183)

Oleh itu kita tidak boleh menjadi hamba Ramadhani, namun perlu menjadi hamba Rabbani.

Maka sudah tentu ciri-ciri “Muttaqien” mesti melekat dalam diri kita, di dalam Ramadhan dan di luar Ramadhan.

Di antara ciri-ciri itu adalah sebagaimana yang difirmankan Allah swt :

"Kitab (Al Quran) Ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka Itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung." (QS Al Baqarah : 2-5)

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema'afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka Mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal." (QS
Ali Imran : 133-136)

"Negeri akhirat itu, kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerusakan di (muka) bumi. dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa." (QS Al Qashash : 83)

"Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa (disediakan) syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya." (QS Al Qalam : 34)

"Graduan Universiti Ramadhan" menjadi peribadi baru atau peribadi fitri sehingga:

1. Tidak ada lagi orang yang menjual hutan yang sepatutnya harus dilindungi dan dimanfaatkan sebesar-besar untuk rakyat.

2. Tidak ada lagi yang makan wang rakyat kerana rakyat sudah sangat susah hidupnya.

3. Tidak ada lagi yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral seperti berzina dan membuang bayi kerana ianya adalah penyakit masyarakat yang dikutuk.

4. Tidak ada lagi saling fitnah memfitnah, adu domba, memecah belah umat hanya gara-gara kepentingan sebentar selama mana ada kekuasaan atau jawatan.

Semoga kita menjadi sebahagian dari "Graduan Universiti Ramadhan" yang berjaya, iaitu menjadi peribadi yang ciri-ciri ketaqwaannya sentiasa melekat dalam diri kita, menjadi lebih baik, di bulan Ramadhan dan di luar bulan Ramadhan.

Ya Allah, jadikanlah kami Graduan-Graduan Universiti Ramadhan yang bukan sahaja mendapat sijil atau gelaran "Muttaqien" bahkan mampu merealisasikan pendidikan yang telah diperolehi sepanjang semesta Ramadhan untuk dilaksanakan dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Ameen Ya Rabbal Alameen

0 comments: