Pengangguran dalam dakwah

Assalamualaikum...

Syeikh Muhammad Al Ghazali pernah berkata :

"Dalam suasana pengangguran, akan :
a. Terlahir ribuan keburukan.
b. Menetas berbagai bakteria yang membinasakan.

Jika kerja merupakan denyutan kehidupan, maka para penganggur adalah orang-orang yang mati.

Jika dunia ini merupakan kesan dari tanaman kehidupan yang lebih besar, maka para penganggur adalah sekumpulan manusia yang paling sesuai dikumpulkan dalam keadaan muflis, tidak ada hasil bagi mereka selain kehancuran dan kerugian."

Ada berbagai penyakit "tarbawi" yang sangat berbahaya di mana jika ia tersebar dalam barisan dakwah dan mendapatkan tempat dalam jiwa anggotanya, maka sudah pasti yang berlaku adalah:
1. Kemerosotan.
2. Keguguran.
3. Menarik diri.
4. Meninggalkan kancah dakwah secara diam-diam.
5. Muflis dalam erti yang luas dan menyeluruh.

Di antara penyakit tersebut dan yang utamanya adalah :
1. Pengangguran dari dakwah.
2. Kemalasan berharakah.
3. Kelemahan jiwa.
4. Tidak ada pekerjaan.
5. Berpeluk tubuh dari amal.
6. Tidak menunaikan kewajiban.
7. Tidak menjalankan tugas-tugas dakwah yang berbagai bentuk.
8. Terbiasa menikmati suasana santai.
9. Berlepas diri dari usaha memikul beban dan tanggungjawab.

Semua perkara-perkara di atas merupakan gejala penyakit yang jika menimpa para aktivis di medan dakwah dan harakah, niscaya ia memberi kesan yang boleh mematikan kecuali jika segera:
a. Mendapatkan semula kebangkitan hati.
b. Mengambil pelajaran dari suatu peringatan.
c. Mengambil manfaat dari suatu nasihat.
d. Mendapatkan rahmat, petunjuk dan taufiq dari Allah swt.

Berdasarkan pengalaman dan interaksi para pendakwah, kelihatan di sana sejumlah faktor yang memberi saham kepada timbulnya penyakit-penyakit di atas seperti berikut :
1. Menurunnya tingkatan keikhlasan dan menyusupnya niat yang tidak baik.
2. Ada masalah pada unsur-unsur pemahaman.
3. Tidak mengetahui jati diri dakwah dan harakah.
4. Melayan berbagai godaan dunia dan mengejar segala kemilaunya yang palsu.
5. Melupakan matlamat atau menyeleweng dan lalai darinya.
6. Putus asa, kecewa dan meramalkan keburukan.
7. Terawang-awang dan mempunyai sasaran yang tidak jelas.
8. Tidak interaktif dengan proses tarbawi.
9. Menghilangnya akhlak yang menjadi tuntutan marhalah seperti : tsabat, sabar, tsiqah, tajarrud, tadhhiyah dan lain-lainnya.
10. Lemahnya rasa tanggungjawab.
11. Merasa panjang perjalanan dakwah yang mesti ditempuhi.
12. Hilang semangat dan terpadam keinginan untuk beramal.
13. Keliru terhadap tingkatan keutamaan, jika adapun, dakwah ditempatkan pada tingkatan keutamaan yang paling akhir.
14. Berkaratnya sisi ruhani, tarbawi dan keimanan serta rosaknya komitmen.
15. Kebuntuan selera untuk beramal serta tidak merasakan kelazatan untuk mengerahkan susah payah di jalan Allah.
16. Hilangnya citarasa berpenat lelah dan bersungguh-sungguh dalam beramal di berbagai medan dakwah.
17. Kehilangan rasa intima' (penggabungan) kepada dakwah dan harakah dan semakin nipisnya unsur-unsur wala' kepadanya.
18. Tertutupnya bentuk kemulian kepada manhaj dakwah dan dinginnya rasa ghairah terhadapnya.
19. Lemahnya immuniti fikrah, keimanan dan tarbiyah.

Semua faktor-faktor di atas mendorong seseorang untuk bersikap :
a. Berpeluk tubuh.
b. Menarik diri.
c. Menjauhkan diri dari lapangan amal.
d. Mencipta berbagai alasan.

Oleh kerana itu, seseorang yang dijangkiti penyakit-penyakit seperti ini akan menjadi beban berat kepada dakwah dan harakah. Akibat berikutnya adalah dakwah semakin merintih kerana memikul bebannya dan menyeretnya, padahal sepatutnya merekalah orang-orang yang semestinya memikul dakwah serta membawanya kepada cakrawala masa depan yang lebih luas.

Jika penyakit pengangguran dari dakwah dan harakah ini tersebar, maka akan muncullah ribuan perilaku-perilaku yang rendah, samada dalam skala perseorangan atau jamaah kerana :
1. Barisan yang di dalamnya tersebar pengangguran, maka akan banyak berlakunya kekacauan.
2. Rumah yang kosong akan banyak terdengar suara kebisingan."

Maka hendaklah para pembawa panji dakwah dan harakah tidak berhenti di tengah jalan.

Jangan pula semangatnya menjadi dingin dan keberkesanannya padam setiap kali berhembusnya angin keputusasaan.

Jangan pula harakahnya lumpuh, jalannya terhenti dan arahnya berubah ketika bertiup badai fitnah kerana mereka mengetahui bahwa :

"Sifat mulia biasanya terkait dengan perkara-perkara yang tidak disukai oleh jiwa dan kebahagiaan tidak dapat dicapai kecuali melalui jambatan kesulitan dan semua ini tidak akan menghantarkan untuk mencapainya kecuali menggunakan kapal keseriusan dan kesungguhan. "

Ketiadaan kegiatan bagi pasukan infantri adalah kelalaian.

Di antara penghancur tekad adalah :
a. Mimpi yang terlalu jauh.
b. Kesenangan bersantai-santai.

Angan-angan hendaklah diiringi oleh amal, jika tidak, ia hanyalah sekadar mimpi yang kembali kepada pemiliknya.

Suatu hari Hasan Al-Bashri melihat seorang pemuda yang bermain-main dengan batu kecil sambil berdoa :
"Ya Allah, nikahkan aku dengan bidadari".

Maka Hasan berkata :
"Kamu adalah pelamar yang paling buruk kerana melamar bidadari dengan modal mainan berupa batu kecil!"

Begitu juga dengan kita, tidak mungkin kita melamar cinta kasih :
a. Tamkin (penegakan agama).
b. Taghyir (perubahan).
c. Ishlah (pembaikan).

sementara kita bermain-main dengan sesuatu yang lebih rendah dari batu kecil manakala diri kita pula adalah para penganggur, bermalas-malasan dan cukup menjadi penonton kerana seorang pelamar mestilah membawa mahar.

"Siapa yang meminang wanita cantik, maka ia tidak mempedulikan mahalnya mahar."

Imam Hasan Al-Banna juga pernah menyatakan bahwa :
"Saya dapat membayangkan seorang mujahid adalah seseorang yang :
1. Menyiapkan segala yang diperlukannya.
2. Membawa yang diperlukannya.
3. Niat jihad telah memenuhi seluruh jiwa dan hatinya.
4. Sentiasa dalam keadaan berfikir.
5. Memberi perhatian besar.
6. Sentiasa dalam kedudukan bersiap siaga.
7. Jika diundang, ia memenuhi.
8. Jika dipanggil, ia menyambut.
9. Paginya, petangnya, pembicaraannya, perbualannya, kesungguhannya dan kerehatannya tidak melampaui medan yang ia telah persiapkan dirinya untuknya dan ia tidak mengambil selain fungsi yang sesuai dengan kehidupan dan kehendaknya.
10. Ruh jihad fi sabilillah dapat dibaca dari garis-garis wajahnya, nampak dalam kilauan sinar matanya dan terdengar dari kenyataan lisannya sesuatu yang menggambarkan betapa besar gelora yang ada dalam hatinya, gelora yang sentiasa wujud, menjadi duka hatinya yang terpendam.
11. Ruh jihadnya juga terbaca dari jiwanya yang bertekad membaja, semangat tinggi dan cita-cita yang jauh.

Itulah peribadi mujahid, secara individu mahupun bangsa. Engkau dapat :
a. Melihatnya secara jelas pada suatu bangsa yang menyiapkan dirinya untuk berjihad.
b. Nampak pada forum-forum dan kelab-kelabnya.
c. Nampak di pasar dan di jalan.
d. Terasa di sekolah dan di rumah.
e. Terlihat pada generasi muda dan tua, lelaki dan wanita sehingga engkau membayangkan bahwa semua tempat merupakan medan dan setiap gerakan adalah jihad.

Saya dapat membayangkan perkara ini kerana jihad merupakan buah dari :
1. Pemahaman yang melahirkan perasaan dan menghilangkan kelalaian.
2. Perasaan yang membangkitkan perhatian.
3. Perhatian yang memberi impak kepada jihad dan amal.

Manakala masing-masing mempunyai kesan dan penampilan.

Adapun mujahid yang :
a. Tidur sekenyang-kenyangnya.
b. Makan sepuas-puasnya.
c. Tertawa sekuat-kuatnya.
d. Menghabiskan waktu untuk bermain-main.

Maka bagaimana mungkin mereka termasuk orang yang beruntung atau terhitung dalam
barisan mujahidin?!"

Umat yang berpandangan bahwa peranannya dalam berjihad hanyalah :
1. Kata-kata yang diucapkan.
2. Makalah yang ditulis.

Lalu jika hati mereka diperiksa ternyata kosong, saat diuji, perhatiannya melencong, tenggelam dalam kelalaian dan tidur yang nyenyak, maka tempat, forum dan kelab mereka tidak ditemui selain perkara-perkara yang tidak berguna, ketidakseriusan, main-main, hiburan dan menghabiskan waktu tanpa apa-apa manfaat.

Seluruh perhatian perseorangannya hanyalah :
a. Kesenangan yang fana.
b. Kelazatan semu.
c. Bersantai-santai.
d. Bersenang-senang.

Maka umat yang seperti ini lebih dekat kepada main-main daripada serius malah mungkin mereka tidak mengenal keseriusan sama sekali.

Jadi, pengangguran adalah jalan kepada kemuflisan.

Sementara kepeloporan, kepimpinan dan ketokohan tidak dapat diraih kecuali dengan keseriusan dan kesungguhan dan tidak dapat dicapai kecuali dengan segudang pengorbanan.

Perkara ini terbukti secara praktikal sepanjang sejarah dan seorang aktivis dakwah dan harakah semestinya merupakan sebahagian dari mata rantai para nabi, rasul, sahabat, tabiin, ulama' dan pendakwah yang beramal.

Oleh kerananya, ia tidak akan mendapatkan kehormatan sebagai anggota dan diberi kad keanggotaan kecuali jika ia telah membayar maharnya.

Ibnul Qayyim Al Jauziyah lebih berterus terang kerana ia memandang seseorang yang mengaku menjadi sebahagian dari mata rantai mulia ini tanpa memberi bukti sebagai bentuk ketinggian tekad.

Beliau berkata :
"Wahai seseorang yang bertekad tinggi, di manakah kamu berada?

Sementara jalan yang akan kamu tempuhi adalah jalan di mana :

1. Nabi Adam telah berpenat lelah.
2. Nabi Nuh telah kehabisan suara.
3. Nabi Ibrahim telah dilemparkan ke dalam api.
4. Nabi Ismail telah dibaringkan untuk disembelih.
5. Nabi Yusuf telah dijual murah dan mendekam beberapa tahun dalam penjara.
6. Nabi Zakaria telah digergaji.
7. Nabi Yahya telah disembelih.
8. Nabi Ayyub telah menderita.
9. Nabi Daud telah melebihi kadar dalam menangis.
10. Nabi Isa telah berjalan sendirian.
11. Nabi kita Muhammad saw telah bergelut dengan berbagai kemiskinan, kesukaran
dan berbagai kesakitan.

Sedangkan engkau berbangga dengan perkara-perkara yang tidak berguna dan
main-main??! !"


Ya Allah, sesungguhnya tugas dakwah merupakan tugas yang amat berat namun inilah tugas yang telah Engkau amanahkan kepada semua para utusanMu. Permudahkanlah urusan ini kerana kami hanya mampu berusaha melaksanakannya sementara petunjuk dan hidayah berada di dalam gengamanMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

sumber : email

0 comments: