Pembinaan Baitul Muslim

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, Sabtu lepas berkesempatan mengikuti Program Pembinaan Baitul Muslim (Keluarga Islam). Apa pun yang kita buat perlulah ada ilmu. Cukupkah hanya dengan melaksanakan rukun Islam di dalam sebuah keluarga untuk melayakkan kita masuk ke syurga Allah? Sesungguhnya syurga Allah itu sangat mahal harganya. Biarlah keluarga yang dibina bukan sekadar menjadi keluarga yang terdiri daripada individu yang beragama Islam tetapi sebaliknya benar-benar melaksanakan Islam dan orang lain bisa nampak kecantikan Islam pada setiap individu itu.

Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (52:21)


Kali ini disertai oleh 5 pasangan dan diadakan di Taman Tasik Permaisuri secara rehlah dan santai. Acara dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh penyampai dan sedikit penerangan tantang pentingnya pembinaan baitul muslim. Kemudian, kami diminta mengadap pasangan masing-masing dan mengulangi saat sebaik diijab kabulkan, suami meletakkan tangan di ubun-ubun isteri dan dibacakan doa, "Ya Allah, aku memohon segala kebaikan dari isteriku dan aku berlindung dari kejahatan isteriku, begitu juga sebaliknya." Diikuti dengan salam cium tangan dan kucupan di dahi.

Kemudian, kami diminta meluahkan apa yang tidak puas hati selama ini dan selepas itu tutup buku. Forgive & forget. Bukan sekadar memaafkan tetapi juga melupakan segala yang telah lalu. Kami juga diminta memberikan hadiah yang paling istimewa untuk pasangan masing-masing sama ada barang, kata-kata, perbuatan atau apa sahaja. Saya seorang yang tidak pandai meluahkan melalui kata-kata, jadi saya telahpun menyiapkan sebuah kad yang dibuat sendiri yang diisi dengan surat cinta di dalamnya.

Gambar hiasan.

Sepanjang sesi ini, dipenuhi dengan sesi air mata. Merasakan diri tidak cukup sempurna, tidak berupaya menjadi isteri mithali buat suami tercinta. Tidak seperti istilah melayu untuk menjadi 'perempuan melayu terakhir' yang bisa menyediakan segalanya buat suami tercinta. Namun, diri ini berharap bisa menjadi isteri solehah penyejuk hati suami yang kekal bukan sahaja di dunia tetapi jua di dalam syurga di sana nanti di sebalik segala kekurangan yang ada. Kami diberi nasihat supaya melakukan sesi ini sendiri bila merasakan hubungan antara suami isteri mula tawar atau bila merasakan masing-masing mula membawa haluan sendiri walaupun sudah beranak cucu. Perbaharuilah hubungan semoga keluarga kekal diliputi sakinah, mawaddah dan rahmah.

Seterusnya, kami menjamu hidangan potluck yang dibawa dan diberi pengisian tentang Madrasah Luqman al-Hakim. Apa-apa pun yang dilakukan Al-Quran tetap sumber utama dari sebesar-besar perkara hinggalah sekecil-kecilnya. Allah telah menerangkan cara mendidik anak melalui surah Luqman, ayat 12-19.

  • Mulailah ajaran dengan sekecil-kecil iaitu dengan bersyukur. Bayi berusia 0-2 tahun memasukkan semua maklumat yang didapati dari sekelilingnya walaupun dia masih belum mampu bersuara. segala apa yang ibu bapa lakukan dan cakapkan akan masuk dalam memory anak kecil ini.
  • Ajaran yang paling utama iaitu tidak mensyirikkan Allah. Di sini, ibu bapa mengangkat darjat Allah setinggi-tingginya.
  • Buat baik dan hormati ibu bapa. Allah juga menaikkan darjat ibu bapa ke tahap yang tinggi.
  • Sekiranya ajaran ibu bapa bertentangan dengan ajaran Allah, maka Allah yang lebih layak diikuti tetapi bergaullah dengan ibu bapa dengan cara yang baik. Meletakkan kedudukan Allah melebihi segala-galanya.
  • Allah nampak dan hitung setiap perkara yang dilakukan walau di mana sahaja. Kadang-kala kita lihat anak-anak yang sangat baik di rumah tetapi bila keluar rumah macam-macam perangai. Jadi, sangat penting untuk menerapkan nilai ini.
  • Dirikan solat dan lakukan amar makruf nahi munkar. Solatlah sumber kekuatan orang Islam dalam menjalankan amar makruf nahi munkar. Ia adalah bekal untuk menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini.
  • Jangan sombong. Seterusnya, hiasilah anak-anak dengan akhlak mahmudah terutama ketika berhubung dengan manusia lain.
  • Sederhana dalam berjalan dan lunakkan suara. Sekali lagi, Allah mengajarkan kita cara berperwatakan dan cara berkomunikasi dengan manusia lain.

Kami kemudiannya diberi tugasan untuk berbincang tentang perancangan keluarga kami. Keluarga yang bagaimana yang kami mahu bina. Dengan adanya plan ini, insyaAllah impian kami akan sentiasa tersemat di hati dan menjadi doa sepanjang masa.

My Our babies plan.

Plan ini bukan sekadar untuk bayi yang bakal lahir ini tetapi juga untuk anak-anak yang seterusnya. Mungkin akan ada perubahan sedikit tetapi main pointnya masih tetap sama. Kami tampalkan di bilik solat kami supaya impian ini bukan sekadar impian tetapi disusuli dengan usaha dan doa seterusnya membuahkan hasil.

p/s - pertama kali menulis sesuatu yang agak personal di sini. Di harap dapat menjadikan sesuatu yang bermanfaat. Binailah keluarga di dunia yang sementara ini supaya kita terus bersama di syurga sana.

Last blogged at Perjalanan hidup menuju Ilahi : SGM : Managing Myths in Breastfeeding
Last blogged at Meniti Hari : Dah dapat Pump.

0 comments: